July 19, 2013
Seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun mati akibat lemas
setelah ditinggalkan tanpa sengaja oleh ibunya selama lebih lima jam
dalam kereta di tempat letak kereta sebuah sekolah di Subang Jaya, di
sini semalam.
Nawal Iris Samsudin, yang tertidur di kerusi belakang kereta, ditemui
oleh ibunya Nor Zatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan
sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kanak-kanak itu
ditinggalkan di dalam kereta dengan kesemua tingkap ditutup dan enjin
dimatikan sejak pukul 11 pagi sebelum ibunya kembali ke kereta itu pada
pukul 5.30 petang.
Ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang guru terlupa mengenai anak
bongsunya yang sepatutnya dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak sebelum
dia ke sekolah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata sebelum ke sekolah, wanita itu menghantar adiknya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
"Setelah habis tugasan si ibu pergi ke kereta pada 5.30 petang dan
terkejut melihat muka Nawal Iris kebiruan, bibirnya pucat serta ada
kesan muntah dan najis kanak-kanak itu di dalam kereta berkenaan,"
katanya.
Yahaya berkata menyedari keadaan anaknya yang tidak bergerak, wanita
berkenaan segera membawa anaknya ke klinik swasta berdekatan di USJ4,
Subang Jaya, di sini dan doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah
meninggal dunia.
Beliau berkata laporan bedah siasat oleh Hospital Serdang yang
diperoleh tengah hari ini mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia
kerana 'heat stroke'.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Hospital Serdang mendapati suasana
pilu menyelubungi bilik mayat apabila lebih 30 ahli keluarga kanak-kanak
itu hadir menunggu proses bedah siasat selesai.
Ibu kanak-kanak itu yang menangis teresak-esak serta ahli keluarganya enggan ditemu bual wartawan.
Polis mengesahkan jenazah kanak-kanak itu dikebumikan selepas solat
Asar di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya, di sini, hari ini. -
Bernama, 19 Julai, 2013.
source:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kanak-kanak-3-tahun-maut-selepas-ditinggalkan-lebih-5-jam-dalam-kereta
#
Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un (إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا
إِلَيْهِ رَاجِعونَ) kepada keluarga zatusy (saya kenal zatusy sebab
sama2 menginap di ktf, utm skudai dahulu..) semoga arwah ditempatkan di
kalangan orang-orang beriman.