Klik sini...

Waktu Solat

Sunday, March 20, 2011

Anak tak sah taraf cecah 234,647

Oleh Johari Ibrahim

2011/03/21

JPN ajak pelbagai pihak tangani segera gejala sosial

PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran anak tidak sah taraf iaitu bayi hasil hubungan luar nikah, menunjukkan pola meningkat antara 2006 hingga 2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 didaftarkan dalam tempoh itu daripada lebih dua juta kelahiran didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Jumlah itu ialah kira-kira 9 peratus daripada keseluruhan 2,481,276 kelahiran yang didaftarkan dalam tempoh berkenaan.

JPN menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai 'menggusarkan' dan mengajak pelbagai pihak menanganinya.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim, berkata masyarakat, agensi kerajaan yang lain terutama jabatan agama Islam negeri dan pimpinan setempat perlu bekerja sama membendung gejala berkenaan dari terus berleluasa.

"Jumlah itu menggusarkan sama ada dari segi agama dan moral dah perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak," katanya kepada Berita Harian.

Daripada jumlah 234,674 anak tidak sah taraf yang didaftarkan itu, seramai 80,979 atau 34.5 peratus adalah bayi yang ibu kandungnya adalah beragama Islam.

Beliau berkata, data itu akan dikongsi dengan beberapa agensi berkaitan seperti jabatan agama Islam negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya bersama-sama menanganinya.

Jumlah anak luar nikah pasangan Islam juga menunjukkan pola meningkat dalam tempoh lima tahun sejak 2006 yang mana pada 2006 sebanyak 13,545 didaftarkan dan jumlahnya meningkat kepada 16,100 pada 2007; 16,541 (2008); 17,303 (2009) dan 17,490 tahun lalu.

Secara keseluruhan, jumlah anak tidak saf taraf (Melayu, Cina, India dan lain-lain) yang didaftarkan juga menunjukkan pertambahan sejak 2006 iaitu38,258 kepada 44,234 (2007); 46,822 (2008); 52,378(2009) dan tahun lalu (52,982).

Rekod kelahiran anak tidak sah taraf bagi kaum Cina pada 2006 ialah 4,739; 5111 (2007); 4,943 (2008), 4,128 (2009) dan 3,864 tahun lalu.

Bagi kaun India pula ialah 4,621 pada 2006; 4,818 (2007); 4,772 (2008); 5,044 (2009) dan 4,703 (2010).

Mengikut Syeksyen 7, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, setiap kelahiran, jika dilahirkan dalam negara ini perlu didaftarkan.

Bagi setiap kes kelahiran anak tidak sah taraf, JPN juga mengikut peruntukan Seksyen 13 akta yang sama.

Bagaimanapun, bagi pendaftaran anak tidak sah taraf, JPN tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran kecuali atas permintaan bersama si ibu dan lelaki yang mengaku bapa dengan mengisi dokumen tertentu.

Namun, bagi yang beragama Islam, kaedah itu tidak boleh digunakan sebaliknya nama bapa akan menggunakan mana-mana satu Asmaul Husna (99 nama Allah).

"Mengikut takrifan, bagi agama Islam, anak tidak sah taraf ialah bayi yang dilahirkan tanpa akad nikah yang sah ibunya dan anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan kalendae Qamariah dari tarikh perkahwinan ibu dan pasangannya," katanya.

Sumber: Berita Harian (21 Mac 2011)

1 comment:

  1. Apa nk jadi dengan masyarakat hari ini... kes buang bayi.. pengguguran.. anak tak sah taraf... seolah-olah masyarakat menghalalkannya...

    Ya Allah... lindungi la aku dan keluargaku daripada masalah ini...

    ReplyDelete